AKIBAT cedera ditumbuk seorang pengarah, pelakon Ika Nabella bertindak menarik diri daripada terus membintangi drama berjudul Dawai Asmara, setelah mendapat nasihat orang sekeliling.
Berkongsi cerita tentang insiden tersebut, Ika menerusi rancangan Melodimendedahkan, dirinya telah dibaling dengan botol dan rambutnya ditarik oleh pengarah tersebut iaitu Azma Aizal Yusoof.
“Second day shooting, tiba-tiba pengarah bertindak memukul saya di kedua-dua belah muka, bertubi-tubi menggunakan tangan dan membaling botol air mineral ke arah saya, menarik rambut saya tanpa sebab.
“Seorang lagi pelakon di tempat kejadian cuba untuk meredakan keadaan dengan memeluk saya. Dia stop dan berlalu pergi. Ini kali ketiga saya bekerja dengan pengarah itu. Saya tak pernah ada masalah dengan dia,” katanya.
Ika turut menyatakan Azma ada berjumpa dengannya ketika waktu rehat untuk menerangkan mengapa dia diperlakukan sebegitu.
“Lepas dia pukul saya, diaorang lunch break, dia datang berjumpa saya, bercakap mengenai lakonan saya. Dia cakap reaction sebegini yang dia mau. Dia ambil video, rakam wajah saya selepas dipukul itu.
“Mungkin betul, feel saya tak seperti yang dia mahukan. Saya rasa dia pukul saya sebab dia nak saya hayati waktu tersebut dengan betul. Dia ada beritahu saya bahawa reaksi macam inilah yang dia mahukan setelah dipukul agar ia nampak lebih ‘real’,”jelas Ika.
Namun akibat insiden itu, Ika dikatakan mengalami kecederaan hingga mulutnya tidak dapat dibuka. Berikutan itu, satu laporan polis dibuat olehnya dan kini kes tersebut sedang disiasat.
Sebelum ini, Azma yang pernah popular menerusi watak ‘Butang’ dalam dramaSindarela, mendakwa cerita mengenai perkara itu telah ditokok tambah namun enggan mendedahkan hal sebenar kerana menghormati siasatan pihak polis. – MYNEWSHUB.CC
Catat Ulasan