SETIAP kali tahun baru membuka tirai, kita sekali lagi akan membuat azam baharu.
Kita cuba melihat perkara yang patut dicapai pada tahun mendatang dan menghitung semula azam yang telah dicapai sepanjang tahun lalu.
Kita juga akan cuba mengimbas semula diri kita atau dalam istilah psikologinya dinamakan sebagai self concept.
Dalam erti kata yang lain, konsep kendiri ialah cara kita melihat diri sendiri dalam keadaan realiti.
Kita mungkin boleh menggayakan hidup seperti orang berada, tetapi hakikatnya hanya kita yang tahu diri sendiri yang sebenarnya.
Kita boleh melakonkan watak sebagai manusia yang budiman, tetapi realitinya kita lebih tahu, apakah ia melambangkan diri kita sebenarnya?
Antara kajian yang sering dilakukan untuk melihat perubahan hidup manusia ialah menerusi perubahan personaliti manusia seiring dengan usia.
Kajian-kajian yang ada setakat ini cenderung menunjukkan personaliti manusia tidaklah begitu banyak berubah sekalipun usia kian bertambah.
Misalnya, seorang yang periang akan terus menjadi periang atau seorang yang baran akan tetap juga bersifat demikian sekalipun umur meningkat.
Jika berubah sekalipun, hanyalah cara seseorang itu mengawal perwatakan, sesuai dengan perubahan umurnya.
Peningkatan umur juga melibatkan perubahan dalam banyak perkara lain. Ada yang berubah daripada seorang remaja kepada dewasa, daripada dewasa kepada tua dan daripada tua kepada lanjut usia.
Ini bermakna, setiap kali tibanya tahun baru, sama ada kita suka atau tidak, kita perlu menjadi orang baharu.
Seorang pelajar universiti misalnya, perlu melangkah menjadi manusia berkerjaya dan mereka yang bekerja mungkin ada yang perlu menghadapi alam persaraan.
PERUBAHAN fizikal manusia akan berubah seiring dengan peningkatan usia.
Sebelum ini, mungkin ada yang masih bujang, tetapi berganjak usia bermakna mereka kini mungkin perlu menyiapkan diri dengan alam rumah tangga.
Sebelum ini, kita mungkin seorang sihat, tetapi kini kian berganjak usia akan diuji dengan kesakitan atau kurangnya keupayaan fizikal yang lain.
Semua ini adalah hakikat yang dilalui semua manusia. Perubahan ini, sesekali menimbulkan krisis peranan.
Ada yang berjaya menanganinya dengan baik, ada yang tidak. Ada yang berganjak usia, namun mereka merasa masih lagi manusia sama.
Walaupun kita mungkin mempunyai diri yang sama, tetapi hakikatnya perubahan usia juga menjadikan tanggungjawab berbeza.
Jika dahulu kita hanya sekadar perlu memikirkan diri sendiri, kini kita perlu memikirkan ahli keluarga yang lain.
Jika dahulu kita mungkin sangat berkuasa di tempat kerja, apabila bersara mungkin kita tidak ada sesiapa lagi yang boleh diarah.
Sebab itulah, dalam banyak kajian psikologi, mereka melihat seseorang manusia yang berjaya dalam kehidupan mereka adalah bergantung kepada keupayaan untuk mengadaptasi diri dengan persekitaran baharu.
Umumnya dalam psikologi, hal ini dinamakan sebagai self regulation, atau keupayaan seseorang untuk mengawal emosi dan tingkah laku mereka dalam menghadapi keadaan baharu.
Banyak manusia yang berjaya dikatakan bermula dengan kejayaan mereka untuk terus mengawal self regulation.
Self regulation akan menjadikan kita manusia yang rasional untuk menghadapi realiti atau tidak. Setiap manusia, sama ada suka atau tidak akan menjadi orang baharu dan akan berhadapan cabaran baharu.
Seperti kita pernah melihat betapa sukarnya ibu bapa mencari nafkah untuk membesarkan kita, hal yang sama mungkin sedang kita lalui.
Jika beberapa tahun terakhir ini, kita merasa kudrat tidak lagi begitu kuat dan sering keluar masuk ke hospital. Ia adalah kitar hidup yang dilalui oleh kebanyakan orang lain apabila tiba masanya.
Jadi, tahun baharu ini sebenarnya bukan sekadar untuk kita bergembira melihat banyak acara sambutan, tetapi ia juga adalah masa yang baik untuk kita mula bersedia dengan cabaran baharu.
Paling utama ialah cara kita menghargai setiap perubahan yang sedang berlaku. Itulah cara yang terbaik untuk kita terus kekal berjaya.
Kita tidak perlu berubah menjadi manusia baharu, tetapi kita perlu rasional melihat tanggungjawab dan peranan baharu sebagai seorang manusia yang bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara. - kosmo
Bagaimana Menarikkan Article Pada Hari Ini . KITA BANTAI.Jangan Lupa Datang Lagi Untuk Membaca Article Yang lebih Menarik Pada Masa Akan Datang/
Lawat: Anda Ingin Kelihatan Lebih Muda Dari Semalam, Dan Juga Hari Sebelumnya! Ketahui Rahsianya Di Sini!
Catat Ulasan
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.