Sebelum diva dari seberang ini keluar ke pentas, penyanyi Siti Nurhaliza sudah beri amaran awalnya. Aura Hetty Koes Endang sangat kuat dan memercik terkena dirinya.
Seterusnya, Hetty Koes Endang mengambil alih pentas dengan membawa dua buah lagu iaitu Hadirlah Kasih dan Kasih. Menjerit-jerit penonton bagai histeria apabila terpegun dengan kelantangan vokal Hetty.
Penyanyi berusia 58 tahun itu bagai dirasuk dalam alunan rentak muziknya. Auranya cukup menggelegak dan bertenaga. Entah dari mana datang hingga menjadikan lagu yang dibawa begitu dramatik sekali.
Dan yang dinanti-nanti apabila segmen duet Siti dan Hetty. Medley lagu Bukan Cinta Biasa dan Pastikan dari album Transkripsi dinyanyikan mereka dalam irama keroncong yang cukup mempesonakan.
Ibarat menonton satu pertarungan vokal. Baik Hetty atau Siti, kedua-duanya tidak mahu kalah. Lebih memukau apabila mereka berdua membawa lagu Pedihnya Rasa dan Rindu.
Kadang-kadang sampai tidak dapat beza mana satu vokal Siti atau Hetty di bahagian nada paling tinggi.
Habis nyanyian, Siti sempat mengakui dan bergurau, dia terpelanting dengan persembahan Hetty. Terpelanting kemudian bangun balik, terpelanting lagi dan Siti bangun balik.
Begitulah hebatnya persembahan dua penyanyi yang memiliki vokal yang tiada tolok tandingnya.
Seperti kata ketiga-tiganya, konsert ini bukan satu pertandingan, tiada yang menang atau menonjol diri. Masing-masing sama membantu.
Vokal Siti Nurhaliza memang cukup hebat cuma nampak tenggelam sikit gara-gara gaya persembahan Hetty yang bertenaga penuh.
Namun Siti juga tidak terlepas pandai berjenaka di atas pentas. Walaupun selamba bercerita, ada unsur humor yang membuatkan penonton ketawa.
Siti sempat bercerita tentang di zaman kanak-kanaknya yang agak pemalu untuk menyanyi di hadapan orang ramai. Dia selalu menyanyi seorang diri di depan cermin dan antara gaya penyanyi yang sempat ditiru adalah Hetty yang turut menjadi kesukaan ibunya.
Untuk segmen Ramli, Siti menyanyikan lagu Kamelia sebagai tanda hormat dan kagum sebelum mahu menjemput Papa Rock naik ke pentas. Agak kelakar, Siti menggantikan Kamelia dengan Khalid Jiwa.
Lagu wajib duet Ramli dan Siti tentunya Doa Buat Kekasih. Ini kerana lagu itu cukup memberi kenangan buat Siti kerana sering mendendangkan di petunjukan kenduri kahwin sebelum bergelar artis.
Kemuncak konsert ini, sekali lagi Siti menampilkan Hetty membawa lagu Kuda Hitam dan Berdiri Bulu Romaku. Gamat Panggung Sari apabila penonton bangun menyanyikan bersama.
Dan Konsert Satu Suara Volume 2 akhirnya ditutup selepas dua jam berlangsung menerusi lagu Rindu dan Temasya Desa Gemalai.
Lagu itu mengucap selamat tinggal buat penonton untuk dikenang sebagai memori paling indah malam itu.
Keseluruhannya, menyaksikan konsert Siti, Ramli dan Hetty yang sememangnya popular di negara kelahiran masing-masing, vokal mantap mereka tidak perlu dipertikaikan lagi.
Dengan sokongan sistem bunyi bertaraf lima bintang dan pencahayaan yang baik, konsert ini menjadi paling sempurna untuk tahun ini. - MalaysiaGazette
Catat Ulasan