Muhammad Amirundin Abdullah mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Alor Setar, Kedah, semalam. UTUSAN/Safrizal Azmi
ALOR SETAR 2 Nov. – Di sebalik penderitaan yang terpaksa ditanggung akibat kanser tulang tahap empat, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik di sini tetap bersemangat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hari ini.
Malah pelajar terbabit, Muhammad Amirundin Abdullah, 18, hadir dengan menggunakan kerusi roda dalam keadaan kaki kanan berbalut kerana menjalani pembedahan kira-kira tiga bulan lalu.
Muhammad Amirundin merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan kerana menghidap ketumbuhan pada mukanya sehingga menyebabkan mata kanannya tidak dapat melihat.
Pembantu Pengurusan Murid SMK Tunku Abdul Malik, Haslinda Ibrahim berkata, walaupun pencapaian akademik Muhammad Amirundin agak sederhana namun dia sentiasa menunjukkan minat yang mendalam terhadap pelajaran.
Katanya, calon SPM itu telah menjalani pembedahan pada kaki kanan akibat terkena jangkitan kuman di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, tiga bulan lalu.
“Dia dirawat selama dua bulan di HUSM, namun saya diberitahu oleh ibu angkatnya, Norhanim Md. Zin bahawa dia sentiasa mengulang kaji pelajaran menggunakan nota-nota yang sekolah bekalkan khas untuknya.
“Muhammad Amirundin mempunyai semangat yang kuat untuk menduduki SPM bersama-sama rakan-rakannya yang lain walaupun dia berdepan dengan penyakit kanser,” katanya ketika ditemui di SMK Tunku Abdul Malik, di sini hari ini.
Menurut Haslinda, bapa Muhammad Amirundin, Abdullah Said, 55, cacat penglihatan manakala ibunya, Salmah Awang, 46, mengalami ketumbuhan pada muka.
“Dua daripada tiga adiknya mengalami masalah tulang bengkok dan seorang lagi masalah pembelajaran,” katanya.
Jelasnya, Muhammad Amirundin dijadualkan menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada mukanya pada Januari tahun depan.
Catat Ulasan